Minta 'bapa haruan' terima hukuman berat
MELAKA: “Fakta kes adalah jelas, kesalahan dilakukan tertuduh iaitu merogol mangsa yang masih kecil berusia sembilan tahun adalah kesalahan jijik. Paling memeranjatkan dalam kes ini, tertuduh boleh membayangkan mangsa sebagai isterinya lalu terangsang dan merogolnya.”
Begitu kata Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin ketika berhujah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap seorang pengawal keselamatan berusia 53 tahun dari Kampung Tanjung Bidara, Masjid Tanah, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu merogol dan mencabul kehormatan anak tirinya pada penghujung 2008 dan pertengahan November lalu.
Ifa yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik berkata, kedua-dua kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan boleh membawa hukuman berat.
Katanya, walaupun tertuduh bukan bapa kandung, tanggungjawabnya tetap sama untuk melindungi mangsa.
“Apa dilakukan sebaliknya, tertuduh mengulangi kesalahan pada November lalu. Jelas kejadian berlaku tanpa pengetahuan ibu mangsa dan tertuduh mengambil kesempatan ketika ketiadaannya.
“Impak bukan saja kepada mangsa tetapi masyarakat terutama mangsa yang masih kecil mengalami trauma kekal sebagai pengalaman pahit sepanjang hidupnya.
“Saya pohon budi bicara mahkamah memberikan hukuman yang berat kepada tertuduh atas dua kesalahan dan merujuk fakta kes diakui tertuduh,” katanya.
Pada prosiding itu, tertuduh mengaku bersalah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia sembilan tahun 11 bulan di sebuah rumah di Jalan BKP 3 Taman Bukit Katil Permai, dekat sini, kira-kira jam 2 pagi pada penghujung 2008.
Dia dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencabul kehormatan mangsa sama yang ketika kejadian berusia 11 tahun empat bulan iaitu memasukkan jari ke dalam kemaluannya kira-kira jam 4 petang pada pertengahan November lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua seksaan itu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Katar selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pendakwa raya, menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara enam tahun bagi kesalahan kedua.
Kepala ibu digilis lori
ReplyDeleteGEMAS: Menyayat hati apabila seorang ibu kepada tujuh anak terbunuh dalam keadaan tragis apabila kepalanya pecah akibat digilis sebuah lori yang dipercayai bergesel dengan motosikal dinaikinya dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Tampin-Gemas berdekatan Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Lebih memilukan kemalangan ngeri itu turut menyebabkan bayi lelaki berusia tujuh bulan yang dibawanya, cedera parah. Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa, Zuraidah Ahmad, 36, dan bayinya, Nur Khairil Shah Adnan, menaiki sebuah motosikal ditunggang anak perempuannya berusia 15 tahun dalam perjalanan dari Felda Sungai Kelamah menuju ke arah pekan Gemas.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, tiba di tempat kejadian, motosikal berkenaan dikatakan cuba mengelak sebuah lubang di bahu jalan dan pada masa sama, sebuah lori dari belakang, cuba memotong motosikal mangsa, namun berlaku pergeseran menyebabkan tiga beranak itu terjatuh ke atas jalan.
“Lori berkenaan menggilis kepala mangsa. Bayi lelaki cedera di kepala manakala penunggang motosikal yang juga anak mangsa hanya cedera ringan,” katanya.
Menurut Wooi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk bedah siasat manakala bayi berkenaan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan lanjut. Beliau berkata, pemandu lori berkenaan sudah ditahan bagi membantu siasatan.
Suami mangsa, Adnan Ahmad , 37, ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat HT, berkata, kali terakhir dia melihat isteri ketika keluar bekerja sebagai penyembelih ayam kira-kira jam 4.45 pagi.
“Saya amat terkejut apabila dimaklumkan seorang rakan mengenai kejadian itu dan bergegas ke tempat kejadian. Saya hampir pengsan dan hilang akal apabila melihat kepala serta topi keledar dipakai isteri berkecai,” katanya.
Menurutnya, isterinya beria-ia mengajaknya keluar membeli pakaian seragam tadika untuk anak lelakinya, Nur Irwan Shah, 4, petang kelmarin.
“Dia kelihatan ceria kerana terlalu ingin melihat Nur Irwan kelihatan lebih sempurna. Namun, saya tidak menyangka dia akan meninggalkannya kami buat selama-lamanya,” katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Sungai Kelamah petang semalam.